Khamis, 20 Februari 2014

Tangisan Guru

“Kami terpaksa menjadikan pisang dan timun bagi mengalas perut setiap hari akibat kehabisan bekalan makanan selepas terperangkap hampir seminggu.
“Saya juga terpaksa menenangkan beberapa guru menangis setiap hari akibat trauma dengan kejadian menimpa,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Binanon, Matuya Kiadang, 57, yang diselamatkan dengan bantuan Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), selepas mengalami muntah darah dan demam sepanjang terperangkap lima hari di sekolah berkenaan. 
Matuya yang kini dirawat di Hospital Keningau berkata, biasanya mereka akan ke pekan berhampiran setiap minggu untuk membeli barang keperluan dan apabila jambatan menghubungkan sekolah itu musnah akibat banjir, semua mereka terperangkap selain mula kehabisan bekalan makanan. 

“Pada kebiasaannya, kami akan keluar ke pekan setiap petang Jumaat dan kembali semula ke sekolah pada hari Ahad selepas mendapatkan barang keperluan termasuk beras.
“Kami hanya membeli dalam kuantiti sedikit berikutan tiada kenderaan sesuai untuk membawa keperluan dalam jumlah besar ke kampung berikutan terpaksa melalui jalan balak selain ada yang hanya menaiki motosikal,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, dia cuba untuk tidak berasa panik apabila dimaklumkan laluan jambatan ke pekan terputus selain berikhtiar untuk diselamatkan. 

“Tiada talian komunikasi di sekolah menyebabkan kami terperangkap sebelum seorang guru berjaya memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk meminta bantuan. 

“Pada hari pertama, saya bersama beberapa guru serta kakitangan sekolah bergotong royong menyediakan makanan sebelum mulai kehabisan bekalan,” katanya. 

Katanya, mereka kemudian terpaksa berkongsi makanan segera sebelum menjadikan pisang, timun dan buah-buahan untuk mengalas perut. 

PM tidak sabar rasmi Jambatan Kedua Pulau Pinang

Foto
Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak teruja menunggu tarikh perasmian Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dijadualkan awal bulan depan.
“Rancangan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang lahir pada 2006. Saya tidak sabar menunggu merasmikan pembukaannya kepada orang ramai bulan depan,” kata Najib dalam tweet terbarunya, semalam. 
Jambatan sepanjang 24 km itu, 17 km daripadanya merentasi laut dan tujuh kilometer di daratan dibina dengan reka bentuk bersifat lestari alam sekitar bagi menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di bahagian pulau. 

Pembukaan jambatan ini dijangka mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang sebanyak 25 peratus.
Jambatan berharga RM4.5 bilion yang dibina kerajaan persekutuan ini adalah jambatan terpanjang di Asia Tenggara. Ia dijangka mampu menampung kegunaan 100,000 kenderaan sehari.

Jambatan ini pada mulanya dijangka siap 8 November tahun lepas dan dibuka kepada orang ramai menjelang November, tetapi ditunda ke tahun ini. - BERNAMA 

Tok kadi yang "havoc"

Batu Pahat: Tok kadi jenaka. Itu gelaran diberikan kepada Penolong Pendaftar Nikah Daerah Batu Pahat Mohd Assubhi Sidon, 36, atau lebih dikenali Ustaz Suboh.
Gelaran itu diberikan selepas Mohd Assubhi gemar berjenaka ketika mahu menikahkan pengantin hingga menimbulkan suasana lucu kepada hadirin sepanjang majlis berlangsung.
Foto
MOHD Assubhi (kanan) menikahkan pasangan.


Hampir keseluruhan komen ditinggalkan mengenai rakaman video itu memuji kaedah digunakan Mohd Assubhi yang berasal dari Parit Besar, Jalan Kluang kerana membantu pengantin lelaki menenangkan diri sebelum dinikahkan.

Menyambut Valentine's Day: Halal @ Haram?

Menurut Encyclopaedia Britannica, hari Valentine yang juga dikenali sebagai Hari Saint Valentine, disambut pada 14 Februari. Pada hari ini, pencinta meluahkan kasih sayang mereka dengan ucapan dan hadiah.

Menurut sejarah, terdapat beberapa sempena hari Valentine ini. Ada yang mengatakan sambutan ini bersempena dengan terbunuhnya seorang Paderi Kristian yang komited terhadap agamanya bernama Valentine. Dia dibunuh oleh Maharaja Claudius II Gothicus pada tahun 270M. Dalam lagenda, dikatakan St. Valentine telah jatuh cinta dengan anak Maharaja tersebut dan sebelum dihukum bunuh, dia telah menulis sepucuk surat yang termaktub padanya, " from your Valentine". Dilaporkan juga, hari Valentine berasal daripada satu perayaan kuno yang disambut di Rom iaitu Perayaan Lupercalia. Perayaan ini dirayakan kerana menyambut kedatangan musim bunga dan antara upacara utamanya ialah menguji tahap kesuburan wanita, di mana lelaki akan dicabut undi dan sesiapa yang terpilih akan melakukan hubungan seks dengan wanita yang ditetapkan.
 
Pada akhir abad ke-5M, Pope Gelasius I menggantikan Perayaan Lupercalia dengan Hari St. Valentine. Ia kemudiannya disambut sebagai hari percintaan bermula pada abad ke-14M. Kini hari Valentine bukan sahaja disambut di negara Barat atau penganut agama Kristian sahaja, bahkan seluruh dunia turut meraikannya. Pasangan kekasih menunggu-nunggu tarikh keramat 14 Febuari bagi merayakan hari kekasih ini. Ia dianggap hari istimewa bagi menunjukkan cinta kepada pasangan masing-masing.
 
Sambutan hari Valentine bukan hanya sekadar hari kekasih untuk hiburan teruna dan dara, namun hari Valentine juga merupakan hari perayaan rasmi ritual agama Kristian seperti disambut di 'Anglican Communion' iaitu persatuan antarabangsa gereja-gereja Anglican yang terdiri daripada Gereja England dan gereja-gereja negara serantau (Holy Days, Church of England (Anglican Communion, 2012), juga di sambut di Gereja Lutheran (Pfatteicher, P.H., New Book of Festivals and Commemorations: A Proposed Common Calendar of Saints, 2008).
 
Persoalan yang timbul, apakah hukum seorang Muslim merayakan hari Valentine? Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya. Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine's Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, 2012, hlm. 16).
 
Kita perlu membezakan antara menghargai kasih sayang dan menyambut hari berkasih sayang seperti hari Valentine. Islam sangat menghargai kasih sayang, sehingga Nabi Muhammad saw bersabda, "Sesiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim). Jarir bin Abdullah melaporkan, katanya, "Rasulullah pernah berkata, ‘Sesiapa yang tidak mengasihi manusia, Allah juga tidak kasih kepadanya." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim). Nukman bin Basyir melaporkan, katanya, "Rasulullah bersabda, ‘Orang-orang yang beriman bagaikan satu tubuh badan dalam hal berkasih sayang dan berlemah lembut sesama mereka. Bila salah satu anggota sakit, seluruh tubuh juga akan sakit kerana tidak dapat tidur dan demam." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim).
 
Dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang. Aisyah melaporkan, katanya, "Satu kumpulan orang Arab Dusun datang berjumpa dengan Rasulullah. Mereka bertanya, ‘Adakah saudara-saudara semua mencium anak-anak saudara?' Para sahabat Nabi Muhammad menjawab, ‘Ya.' Orang-orang Arab Dusun itu berkata, ‘Tetapi kami tidak biasa mencium anak-anak kami.' Rasulullah pun berkata, ‘Apakan daya saya. Allah telah mencabut perasaan kasih sayang daripada jiwa saudara-saudara.' (Hadis sahih direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim).
 
Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine's Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Allah SWT memerintah umat Islam memohon kepadaNya untuk mencontohi perjalanan dan cara hidup golongan yang diberi nikmat oleh Allah daripada kalangan para Nabi, orang yang benar imannya, orang yang mati syahid mempertahankan agama Allah, dan orang yang melakukan amal soleh. Kita juga diajar oleh Allah agar membebaskan diri sepenuhnya daripada pengaruh Yahudi dan Kristian termasuklah perjalanan dan cara hidup mereka. Ini semua dijelaskan dalam surah al-Fatihah ayat 6 hingga 7, "Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat."
 
Maksud golongan yang Allah kurniakan nikmat kepada mereka dijelaskan dalam surah al-Nisa' ayat 68 hingga 69, "Dan tentulah Kami pimpin mereka ke jalan yang lurus. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka. Iaitu Nabi-nabi, orang-orang Siddiqiin, orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)."
 
Manakala maksud golongan yang dimurkai oleh Allah, ditafsirkan oleh Nabi Muhammad saw: 'Adi bin Abi Hatim melaporkan, "Saya bertanya kepada Nabi Muhammad saw maksud firman Allah dalam surah al-Fatihah: 'orang-orang yang Engkau telah murkai', jawab Nabi, 'Mereka adalah orang Yahudi.'". Manakala maksud golongan yang sesat pula ialah Kristian, sebagaimana laporan 'Adi bin Abi Hatim, "Nabi Muhammad saw menjelaskan maksud firman Allah dalam surah al-Fatihah: 'orang-orang yang sesat', mereka adalah orang Kristian." Meniru dan mengamalkan cara hidup orang bukan Islam seperti orang Yahudi, Kristian dan lain-lain adalah termasuk dalam maksud mengiktiraf agama tersebut. Ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah saw, "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut." (Hadis direkodkan oleh Imam Abu Daud).
 
Allah SWT memberikan peringatan kepada Nabi Muhammad saw dan umat Islam dalam surah al-Baqarah ayat 120, "Orang-orang Yahudi dan Kristian tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menuruti agama mereka (yang telah terpesong itu)." Oleh sebab itu, Nabi Muhammad saw turut memberikan peringatan kepada kita: Abu Sa'id al-Khudri melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Kamu akan mengikut jejak langkah cara hidup golongan sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak Dhob pun, kamu akan mengikuti mereka." Kami bertanya, "Wahai Rasulullah. Adakah mereka itu Yahudi dan Kristian." Jawab Nabi, "Siapa lagi kalau bukan mereka?" (Hadis sahih direkodkan oleh Imam al-Bukhari).
 
Larangan Nabi Muhammad saw perbuatan mencontohi dan mengikuti cara hidup golongan Yahudi, Kristian dan penganut agama lain adalah meliputi segala tingkah laku,sama ada ia melibatkan ritual keagamaan atau tatacara kehidupan seharian. Contohnya, al-Syarid bin Suwaid melaporkan, katanya, "Pada suatu masa Nabi Muhammad berjalan melintas di depan saya. Waktu itu saya sedang duduk dengan meletakkan tangan kiri di belakang bahu saya dan saya bersandar menggunakan tangan saya itu. Kata beliau, ‘Adakah kamu duduk dengan gaya orang Yahudi?'" (Hadis direkodkan oleh Imam Abu Daud).
Berdasarkan hadis ini, cara duduk pun Nabi larang umatnya daripada mengikuti cara orang Yahudi. Apatah lagi ketika menyambut hari Valentine, pasangan kekasih yang masih belum bernikah secara sah melahirkan perasaan cinta mereka mengikut cara yang haram. Ber'dating', berdua-duaan bagi memadu asmara, berpegangan tangan tanda keintiman; kesemuanya merupakan tingkahlaku haram yang menjadi mukaddimah kepada berleluasanya maksiat dan zina. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 32: "Janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan)."
 
Islam bukan hanya sekadar mengharamkan zina, namun segala perkara yang boleh mendekatkan seseorang dengan perzinaan adalah hukumnya haram. Oleh sebab itu, umat Islam wajib kembali mengamalkan tatacara hidup yang dibenarkan oleh Islam dan meninggalkan tatacara hidup yang bercanggah dengan syariat Islam seperti sambutan hari Valentine. Cinta sejati hanyalah cinta yang berpaksikan cinta kepada Allah dan Nabi Muhammad saw. Manakala cinta berahi yang berpaksikan nafsu syahwat yang menjuruskan pencinta itu melakukan dosa dan maksiat kepada Allah, adalah cinta yang mengundang bencana di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Zukhruf ayat 67, "Pada hari itu (hari kiamat) sahabat-sahabat karib; sebahagiannya akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh)."
 
(Artikel ini ditulis oleh: al-Faqir Dr. Arieff Salleh bin Rosman: Felo Fatwa Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), merangkap Pengarah Pusat Penyelidikan Fiqh Sains & Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia)

Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.
  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula,corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.
  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Kahwin ekspres mencanak

Pengkalan Hulu: Aktiviti ‘kahwin senyap’ oleh pasangan warga Malaysia di Betong, Selatan Thailand didapati meningkat mendadak berbanding beberapa bulan lalu berikutan proses perkahwinan di pekan sempadan negara jiran itu yang didakwa lebih pantas dan selamat berbanding di wilayah lain.
FotoPermintaan tinggi rakyat Malaysia untuk berkahwin di Betong, menyebabkan Pejabat Kadi Syarie Majlis Agama Islam Yala berpejabat di pekan kecil berkenaan beroperasi tanpa cuti termasuk dibuka sehingga waktu malam untuk urusan perkahwinan termasuk pada Sabtu dan Ahad.
Malah, kakitangan pejabat kadi itu dilaporkan ‘tidak menang tangan’ bagi memenuhi permintaan ramai pasangan tempatan yang mahu berkahwin di pejabat berkenaan saban hari.

Seorang ejen nikah, Mazlan Mat Yusof, 38, berkata, peningkatan mendadak kehadiran pasangan Malaysia yang mahu berkahwin di Betong dipercayai ada kaitan dengan beberapa faktor seperti keselamatan, promosi iklan di Internet dan blog serta proses nikah yang lebih pantas.
Dia yang menetap di Ayer Panas, di sini, mendakwa sekurang-kurangnya lima pasangan dari Malaysia memasuki bandar Betong untuk berkahwin setiap hari.

Ketua DAP mati ditembak

Manjung: Seorang ketua cawangan DAP mati selepas ditembak lelaki tidak dikenali di hadapan rumahnya di kampung Jering Ayer Tawar, di sini.
Foto
Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, mangsa, Wong Kong Ting, 56, ditemui terbaring berlumuran darah di hadapan pintu pagar rumahnya.
Ahli keluarga mangsa telah membawa mangsa ke Hospital Manjung untuk mendapatkan rawatan kecemasan namun mangsa mati di hospital itu kira-kira 50 minit selepas ditembak. Mangsa disahkan terkena tembakan di dada, lengan dan kaki.

Tembakan dilepaskan oleh seorang lelaki yang dikesan muncul dengan menaiki motosikal di hadapan rumah mangsa.

Gan bakal milik TRW

Kuala Lumpur: Hajat Kelantan sebelum ini yang kempunan mendapatkan sentuhan pemain kacukan Australia dan Malaysia, Brendan Gan, bakal menjadi kenyataan apabila jendela perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga-M) dibuka sebulan, bermula 23 Mac nanti.
Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata, segala urusan dokumentasi pendaftaran Brendan Gan hampir selesai dan pihaknya hanya menunggu tarikh jendela perpindahan itu dibuka Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Segala urusan untuk membolehkannya memiliki pasport Malaysia termasuklah temu duga serta perkara berkaitan, mengikut seperti yang dirancang. Brendan akan memperoleh pasport Malaysia bulan ini dan pendaftaran dengan FAM akan dilakukan pada tingkat perpindahan kedua nanti. “Apa yang FAM mahukan kita sudah lakukan. Saya harap semuanya dapat diselesaikan dan tidak lagi timbul apa-apa kerumitan selepas ini,” katanya ketika ditemui Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada aksi suku akhir Piala FA, malam kelmarin.
Brendan sebelum ini dihalang FAM daripada didaftarkan sebagai pemain tempatan The Red Warriors (TRW) kerana pihak Jawatankuasa Status FAM lebih memilih taraf kewarganegaraan seseorang pemain berbanding taraf kerakyatan, Disember lalu.

Pemain memulakan karier senior bersama Sutherland Sharks, diikuti Sydney FC untuk tempoh empat tahun dan kemudian menyertai Bonnyrigg White Eagles pada saingan 2011 hingga 2012 sebelum berpindah ke Sabah.
Sumber Harian Metro Online

Guru cium murid dipenjara

Singapura: Mahkamah republik ini semalam menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas seorang guru kerana berkelakuan tidak senonoh termasuk membuat “gigitan cinta” terhadap pelajarnya.
Guru wanita berusia 42 tahun itu melakukan perbuatan berkenaan ke atas pelajar lelaki berusia 13 tahun di sekolahnya. 
Dia yang mengajar sejak 11 tahun lalu dan ibu empat anak sebelum ini mengaku salah atas dua tuduhan serangan seksual terhadap kanak-kanak atau remaja di bawah Akta Kanak-kanak dan Remaja Singapura. 

Mengikut fail mahkamah, wanita yang dirahsiakan identitinya itu dikatakan mencium mulut dan membuat gigitan cinta pada bahu dan leher pelajar lelaki itu dalam dua kejadian berasingan pada 2012.

Dia mengenali pelajar yang berada dalam pasukan bola sepak bersama anak lelakinya dan mula berhubung melalui Facebook kemudiannya melakukan kesalahan itu di taman awam ketika mereka keluar bersama.

Ibu pelajar berkenaan membuat laporan polis selepas mengesan tanda gigitan cinta pada leher anaknya. - AFP