Khamis, 20 Februari 2014

Tangisan Guru

“Kami terpaksa menjadikan pisang dan timun bagi mengalas perut setiap hari akibat kehabisan bekalan makanan selepas terperangkap hampir seminggu.
“Saya juga terpaksa menenangkan beberapa guru menangis setiap hari akibat trauma dengan kejadian menimpa,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Binanon, Matuya Kiadang, 57, yang diselamatkan dengan bantuan Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), selepas mengalami muntah darah dan demam sepanjang terperangkap lima hari di sekolah berkenaan. 
Matuya yang kini dirawat di Hospital Keningau berkata, biasanya mereka akan ke pekan berhampiran setiap minggu untuk membeli barang keperluan dan apabila jambatan menghubungkan sekolah itu musnah akibat banjir, semua mereka terperangkap selain mula kehabisan bekalan makanan. 

“Pada kebiasaannya, kami akan keluar ke pekan setiap petang Jumaat dan kembali semula ke sekolah pada hari Ahad selepas mendapatkan barang keperluan termasuk beras.
“Kami hanya membeli dalam kuantiti sedikit berikutan tiada kenderaan sesuai untuk membawa keperluan dalam jumlah besar ke kampung berikutan terpaksa melalui jalan balak selain ada yang hanya menaiki motosikal,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, dia cuba untuk tidak berasa panik apabila dimaklumkan laluan jambatan ke pekan terputus selain berikhtiar untuk diselamatkan. 

“Tiada talian komunikasi di sekolah menyebabkan kami terperangkap sebelum seorang guru berjaya memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk meminta bantuan. 

“Pada hari pertama, saya bersama beberapa guru serta kakitangan sekolah bergotong royong menyediakan makanan sebelum mulai kehabisan bekalan,” katanya. 

Katanya, mereka kemudian terpaksa berkongsi makanan segera sebelum menjadikan pisang, timun dan buah-buahan untuk mengalas perut. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan