Khamis, 31 Januari 2013

Kabinet hari ini meluluskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025


KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kabinet hari ini meluluskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi ke arah memperkasakan sistem pendidikan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kandungan terperinci laporan itu akan disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dalam waktu terdekat.
"Saya ingin memaklumkan di sini bahawa hari ini Kabinet telah menerima dan meluluskan PPPM 2013-2025," kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-21 dan Kempen Rayuan Derma Untuk Mengisi Tabung Pembinaan Bangunan Hua Zong di sini malam ini.
Dalam majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan penyampaian replika cek sumbangan beberapa syarikat korporat antaranya daripada Pengasas Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berjumlah RM5 juta.
Yang turut hadir Presiden Hua Zong, Tan Sri Pheng Yin Huah, Duta Besar China ke Malaysia, Datuk Chai Xi, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Pada September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kaum tertentu di negara ini mempunyai peranan penting dalam mengekalkan keharmonian.
Walaupun mereka kerap kali menyuarakan hasrat sesuatu kaum dan mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan, namun usaha itu perlu dilakukan dengan kaedah yang betul.
"Pintu perundingan kerajaan sentiasa terbuka untuk mencari penyelesaian terbaik bagi sesuatu isu dalam usaha menjaga kepentingan semua kaum.
"Namun hari ini ada pihak tertentu yang cenderung melakukan provokasi, termasuk melakukan demonstrasi, bantahan atau rapat umum untuk menuntut hak sesuatu kaum atau agama," ujar beliau.
Tambah Muhyiddin, pendekatan perundingan dalam semangat muhibah adalah cara terbaik untuk menghasilkan keputusan yang boleh diterima semua pihak.

Kalimah Allah Hak Islam




KUALA LUMPUR 30 Jan. - Penganut-penganut agama lain tidak mempunyai hak untuk menuntut kesamarataan dalam soal beragama termasuk penggunaan kalimah suci Allah kerana tindakan seumpama itu amat bertentangan dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan negara ini.
Sehubungan itu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim meminta penganut-penganut bukan Islam sedar tentang kedudukan tersebut terutama kedaulatan Islam sebagai Agama Persekutuan supaya mereka lebih bijak membawa diri dengan tidak menyentuh isu-isu sensitif.

75% Pasti itu William

SUBANG JAYA: Polis memberi kepastian hampir 75 peratus bahawa mayat kanak-kanak yang ditemui di Pelabuhan Klang adalah William Yau.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Ramli bekata, ia berikutan keluarga William mengenal pasti mayat mangsa berdasarkan parut di hadapan dan belakang kepala serta seluar pendek yang dipakainya.

Keputusan post-mortem tidak boleh menentukan punca kematian kerana keadaan mayat yang telah reput.

Bagaimanapun, berdasarkan keadaan mayat, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa kanak-kanak lelaki itu sudah mati selama seminggu.

ACP Yahaya berkata, keluarga mangsa hadir ketika bedah siasat dilakukan ke atas mayat tersebut.



                                                                                      Ibu Bapa William


Bercakap kepada para pemberita di Balai Polis Subang Jaya di sini, ACP Yahaya menambah, tidak terdapat tanda-tanda kecederaan luaran yang ditemui kecuali tanda-tanda bekas gigitan.

"Jadi pihak kami mengandaikan yang kesan gigitan itu adalah gigitan haiwan ketika mayat mangsa terapung di dalam sungai.

"Bagaimanapun, pihak polis tidak boleh memberi kepastian seratus peratus sehinggalah keputusan DNA keluar...mungkin Isnin ini," ujarnya.

Menurut beliau lagi, teori polis setakat ini ialah mayat mangsa mungkin terapung dan dibawa arus sejauh 30km di Sungai Klang dari Bukit Lanchong (kawasan kampung bersebelahan dengan Putra Heights) sebelum ia tersangkut pada enjin boat berdekatan Jeti Kampung Sungai Sireh di Pelabuhan Klang.


William Mungkin DiDera


PETALING JAYA: Polis akan mengambil keterangan bapa saudara dan nenek William Yau Zhen Zhong berhubung dakwaan mereka bahawa kanak-kanak lelaki itu pernah didera ibu bapanya sebelum dia hilang dan ditemui mati Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, berkata keterangan itu akan diambil daripada kedua-dua individu itu, yang kini berada di Melaka, dalam masa terdekat.
Beliau memberitahu sidang berita di Kolej Universiti Sunway dekat sini, polis juga akan mengambil kenyataan lanjut daripada ibu bapa dan abang William yang berumur tujuh tahun, bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Katanya, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, termasuk aspek kecuaian dan penderaan.

"Kita sedang berbincang dengan pakar psikologi kanak-kanak Bukit Aman untuk mengambil sekali lagi keterangan abang William," katanya.

Yahaya berkata sehingga kini, kira-kira 30 individu diambil keterangan berhubung kes itu dan polis juga akan mengenal pasti saksi lain yang boleh dirakam percakapan.



Semalam, polis mengesahkan mayat kanak-kanak lengkap berpakaian ditemui di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang oleh seorang nelayan pada 24 Januari lalu adalah William, 6, anak kedua pasangan Goh, 28, dan Yau, 32.
Dia dilaporkan hilang pada 16 Januari di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya.

William dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

Pada hari bedah siasat pada 25 Januari, ibu bapa William mengesahkan mayat kanak-kanak itu sebagai anak mereka berdasarkan dua parut di belakang kepala dan satu di dahi selain seluar dalam yang dipakainya.

- BERNAMA

Read more: http://srohana.blogspot.com/2013/01/dakwaan-william-didera-keterangan-bapa.html#ixzz2JWBM2zcc