Khamis, 31 Januari 2013

Kabinet hari ini meluluskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025


KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kabinet hari ini meluluskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi ke arah memperkasakan sistem pendidikan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kandungan terperinci laporan itu akan disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dalam waktu terdekat.
"Saya ingin memaklumkan di sini bahawa hari ini Kabinet telah menerima dan meluluskan PPPM 2013-2025," kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-21 dan Kempen Rayuan Derma Untuk Mengisi Tabung Pembinaan Bangunan Hua Zong di sini malam ini.
Dalam majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan penyampaian replika cek sumbangan beberapa syarikat korporat antaranya daripada Pengasas Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berjumlah RM5 juta.
Yang turut hadir Presiden Hua Zong, Tan Sri Pheng Yin Huah, Duta Besar China ke Malaysia, Datuk Chai Xi, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Pada September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kaum tertentu di negara ini mempunyai peranan penting dalam mengekalkan keharmonian.
Walaupun mereka kerap kali menyuarakan hasrat sesuatu kaum dan mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan, namun usaha itu perlu dilakukan dengan kaedah yang betul.
"Pintu perundingan kerajaan sentiasa terbuka untuk mencari penyelesaian terbaik bagi sesuatu isu dalam usaha menjaga kepentingan semua kaum.
"Namun hari ini ada pihak tertentu yang cenderung melakukan provokasi, termasuk melakukan demonstrasi, bantahan atau rapat umum untuk menuntut hak sesuatu kaum atau agama," ujar beliau.
Tambah Muhyiddin, pendekatan perundingan dalam semangat muhibah adalah cara terbaik untuk menghasilkan keputusan yang boleh diterima semua pihak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan