KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kabinet hari ini
meluluskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang
menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi ke arah memperkasakan sistem
pendidikan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin berkata, kandungan terperinci laporan itu akan disembah maklum kepada
Majlis Raja-Raja dalam waktu terdekat.
"Saya ingin memaklumkan di sini bahawa
hari ini Kabinet telah menerima dan meluluskan PPPM 2013-2025," kata
beliau.
Beliau berkata demikian dalam majlis Makan
Malam Sempena Ulang Tahun Ke-21 dan Kempen Rayuan Derma Untuk Mengisi Tabung
Pembinaan Bangunan Hua Zong di sini malam ini.
Dalam majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan
penyampaian replika cek sumbangan beberapa syarikat korporat antaranya daripada
Pengasas Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berjumlah RM5 juta.
Yang turut hadir Presiden Hua Zong, Tan Sri
Pheng Yin Huah, Duta Besar China ke Malaysia, Datuk Chai Xi, Presiden MCA,
Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr.
Koh Tsu Koon.
Pada September lalu, Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk
mengubah sistem pendidikan negara.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata,
pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kaum tertentu di negara ini mempunyai
peranan penting dalam mengekalkan keharmonian.
Walaupun mereka kerap kali menyuarakan hasrat
sesuatu kaum dan mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan, namun
usaha itu perlu dilakukan dengan kaedah yang betul.
"Pintu perundingan kerajaan sentiasa
terbuka untuk mencari penyelesaian terbaik bagi sesuatu isu dalam usaha menjaga
kepentingan semua kaum.
"Namun hari ini ada pihak tertentu yang
cenderung melakukan provokasi, termasuk melakukan demonstrasi, bantahan atau
rapat umum untuk menuntut hak sesuatu kaum atau agama," ujar beliau.
Tambah Muhyiddin, pendekatan perundingan dalam
semangat muhibah adalah cara terbaik untuk menghasilkan keputusan yang boleh
diterima semua pihak.