Rabu, 28 Mac 2012

Chong Wei penuhi hajat peminat

HAJAT ramai pihak menyaksikan kelibat Lee Chong Wei membantu Malaysia Tigers ‘menerkam’ Indonesia Garuda dalam perlawanan getir timbal balik separuh akhir kejohanan berpasukan termahal dunia - Piala Axiata - bakal dipenuhi jaguh perseorangan itu.

Namun, sama ada hajat itu termakbul atau tidak bergantung kepada kata putus doktor dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas pemain nombor satu dunia itu tidak menyembunyikan keinginan tinggi dan kesediaannya beraksi, Jumaat dan Ahad ini.



   “Saya sedia membantu Malaysia Tigers, tetapi segala-galanya bergantung kepada keputusan doktor dan BAM,” katanya selepas latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
Pemain nombor satu dunia itu yang cedera bahu kanan ketika final Seluruh England 11 Mac lalu turut mengakui dia kini sudah menjalani rutin latihan biasa selepas hampir seminggu menjalani latihan ringan bagi memastikan otot-otot sekitar bahunya pulih.

“Bahu saya semakin pulih dan saya tidak lagi terasa sakit, malah saya kini boleh melakukan rutin latihan biasa termasuk melakukan smash,” kata pemain berusia 30 tahun itu yang terlepas saingan peringkat kumpulan kejohanan menawarkan hadiah keseluruhan AS$1 juta (RM3 juta) itu minggu lalu.

Sementara itu, jurulatih, Tey Seu Bock juga mengakui Chong Wei sudah pulih, tetapi anak didiknya itu masih tetap menjalani fisioterapi setiap hari bagi memastikan kecederaan benar-benar pulih serta tidak berulang.

“Dia sudah menjalani rutin latihan biasa termasuk melakukan latihan berat dan smash. Namun, kita perlu berhati-hati kerana kita tidak nampak apa yang berlaku di dalam. Mungkin esok (hari ini) dia akan bertemu doktor untuk menjalani pemeriksaan susulan dan mendapatkan kata putus sama ada boleh beraksi atau tidak di separuh akhir nanti,” katanya
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz dalam pemeriksaan awal sebelum ini menganggarkan pemain berusia 30 tahun itu memerlukan tiga hingga lima minggu untuk pulih daripada kecederaannya dan minggu ini masuk minggu ketiga.

P/s Tahniah Chong Wei...Tahniah jua untuk RAKYAT MALAYSIA :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan