Selasa, 3 April 2012

Raja Nazrin kecewa bukan Islam main api agama


IPOH 3 April – Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah kecewa kerana garis sempadan menyentuh agama Islam mula dilanggar malah ada kalangan bukan Islam semakin lantang mencabar perkara berkaitan Islam melalui ungkapan dan kenyataan bernada mempersendakan syariat dan memperkecilkan aqidah umat Islam.
Baginda mahu supaya perbuatan melanggar sempadan agama lain secara keterlaluan dan terbuka ini dihentikan dan dicegah secara tegas kerana ia boleh mencetuskan tragedi buruk dalam negara.
"Bara keagamaan jangan dihidupkan, api keagamaan jangan dinyalakan, kelak nanti terbakar diri, kelak nanti terhangus negeri,” titah baginda semasa merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.
Menurut baginda, perkara menyentuh syariat dan aqidah Islam yang disuarakan oleh ulama Islam terutama bagi menasihati umat Islam, kini dipersoalkan dan diperdebatkan secara terbuka oleh individu bukan Islam.
"Perbuatan tersebut nyata telah melanggar sempadan, telah melanggar adat resam beragama secara aman dan damai. Tatasusila menghormati agama lain, tidak memperkecilkan agama lain, tidak mencampuri urusan agama lain adalah merupakan tatasusila yang wajib dipatuhi,” titah baginda.
Raja Nazrin bertitah, perkara utama mengenai Islam yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah sebaliknya ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan lain yang berkaitan bagi memastikan tujuan sebenar peruntukan itu tidak dimanipulasi hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.
"Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak dalam Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan dan keistimewaan yang termaktub di dalam Perlembagaan tidak sama sekali digunakan oleh umat Islam untuk bersifat angkuh, sombong dan bongkak terhadap agama lain, tidak juga dijadikan justifikasi oleh barisan pemimpin Islam dan ulama Islam di negara ini untuk bersifat ekstrem, menindas, menghina dan menyerang agama lain atau memusnahkan rumah ibadat warga bukan Islam,” titah baginda. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan