Khamis, 5 April 2012

'Saya tak pernah goyah'

Najib yakin perubahan terajui negara 3 tahun disokong

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak pernah goyah dalam komitmennya untuk membawa perubahan merentasi semua bidang sejak menerajui negara tiga tahun lalu, bersama kemakmuran, keselamatan dan demokrasi berkekalan bagi seluruh rakyat tanpa mengira kaum mahu pun agama. Perdana Menteri berkata, beliau bekerja untuk mentransformasi ekonomi negara supaya mampu menghadapi cabaran abad ke-21, dengan meningkatkan daya saing, mempertingkat pendapatan serta mengurangkan kadar pengangguran. 

Malah, beliau memansuhkan perundangan era kolonial yang menindas dan menggantikannya dengan undang-undang moden serta progresif yang melindungi hak serta kehidupan seluruh rakyat.

“Saya juga mendengar gesaan untuk lebih ketelusan dalam pilihan raya, mewujudkan suruhanjaya dwipartisan bagi meneliti proses pengundian dan memperkenal langkah seperti penggunaan dakwat kekal untuk mengurangkan kemungkinan berlaku penipuan dalam pemilihan.

“Ia adalah suatu proses evolusi, dan bukannya revolusi. Proses itu sebaiknya disokong serta digalakkan menerusi hubungan kekeluargaan negara yang bekerjasama membantu antara satu sama lain.

“Sebab itulah pada Sidang Kemuncak ASEAN minggu ini (di Phnom Penh), kami (pemimpin 10 negara terbabit) akan meletakkan sentuhan terakhir terhadap satu deklarasi bertajuk ‘Satu Komuniti, Satu Tujuan’.
“Ia adalah satu pengakuan amat nyata bahawa masa depan kita terletak dalam hubungan lebih rapat dan lebih erat, bersuara dengan satu nada dan satu matlamat dalam fikiran, pembangunan berterusan bagi ekonomi kita, masyarakat kita dan di atas semua itu demokrasi kita. Secara ringkas, ia adalah pendekatan yang sangat Asia, sangat ASEAN,” katanya dalam penulisan beliau bertajuk ‘The ASEAN Way Won Burma Over’ disiarkan melalui kolum ‘Opinion Asia’ The Wall Street Journal yang diterbitkan semalam.

Sebagai pemimpin negara Asia Tenggara yang tertua mengamalkan demokrasi, Najib berkata, beliau sentiasa berminat untuk berkongsi pengalaman Malaysia yang mendapati sejak mencapai kemerdekaan setengah abad lalu, pembaharuan secara lancar dan mantap adalah cara terbaik menjamin kestabilan berpanjangan di mana proses itu masih berterusan di Malaysia sehingga kini.

Dalam pada itu, beliau berkata, ASEAN berjaya memainkan peranan penting dalam membantu memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan politik, sekali gus menepis kritikan bahawa terlalu sedikit usaha dibuat untuk menggalakkan demokrasi serta hak asasi manusia.

Dalam konteks ini, katanya, contoh paling jelas adalah hubungan ASEAN dengan Myanmar, di mana negara anggota lebih memikirkan perkara itu sebagai sebuah keluarga berbanding persatuan.
iv>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan