Rabu, 20 Februari 2013

Pengodam Jabatan Penerangan didedahkan


KUALA LUMPUR: Perbuatan menggodam laman web Jabatan Penerangan semalam, dipercayai didalangi individu dikenali sebagai `Sofea Hana’ yang dikatakan seorang wanita berusia 20-an dengan agenda anti-kerajaan kerana kecenderungannya yang sering menggodam laman kerajaan sejak awal tahun lalu.
Penggodam yang juga dikatakan penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu dikatakan pernah menceroboh laman seperti Jabatan Kehakiman, Parlimen, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Kegiatan Sofea ini didedahkan oleh seorang daripada penggodam yang aktif dan popular di dunia siber tanah air, Prince Zorro.

Menurut Prince Zoro, Sofea telah menggodam lebih 10 laman kerajaan setakat ini dan dijangka akan meneruskan perbuatannya jika pihak kerajaan tidak meningkatkan tahap keselamatan siber.

“Di kalangan komuniti penggodam tempatan, Sofea sememangnya dikenali kerana mempunyai kepakaran tinggi dan diketahui mempunyai sentimen anti-kerajaan yang kuat. Justeru, dia akan meneruskan perbuatannya selagi tidak dibendung,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, lebih membimbangkan hampir kesemua laman agensi kerajaan amat mudah untuk diceroboh memandangkan sistem keselamatan yang longgar termasuk kecenderungan penggunaan kata laluan yang sama oleh pentadbir laman kerajaan.

“Sofea menggunakan kebolehannya mendapatkan kata laluan untuk menceroboh laman terbabit menggunakan akaun pentadbir dan memasukkan apa saja program yang diingini, malah dia boleh mengubah keseluruhan reka bentuk laman berkenaan jika dia mahu,” jelasnya.

Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superintendan Victor Sanjos ketika dihubungi berkata kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Saya jamin polis akan dapat mengesan suspek walaupun dia menggunakan identiti palsu atau cuba menyembunyikan alamat Internet Protocol (IP) kerana kita ada kaedah tertentu untuk menjejak suspek,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, dua kenyataan palsu disiarkan dalam sistem e-Akhbar dan e-Press laman web Jabatan Penerangan bertajuk 'Memo Permohonan Rakyat Malaysia dan Perdana Menteri Secara Rasminya Meletak Jawatan'.
p/s- Semoga orang yang bersalah segera ditangkap!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan