Khamis, 7 Februari 2013

PM mahu penjawat awam fahami cabaran ekonomi global


PUTRAJAYA 8 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mengharapkan kefahaman dan kerjasama penjawat awam untuk sama-sama mengharungi dan mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu.

Tegas beliau, walaupun kerajaan berjaya mengeluarkan Malaysia daripada gelora ekonomi global, namun usaha perlu digandakan bagi memastikan tahun-tahun mendatang negara terus bebas daripada belenggu tersebut.

''Ingatlah bahawa apa yang kita lakukan hari ini sudah tentu akan mempunyai kesan jangka panjangnya. Kerajaan tidak rela Malaysia menjadi sebuah tragedi kewangan seperti negara Greece.

''Justeru kerajaan dalam membuat sesuatu keputusan, perlu memikirkan langkah terbaik yang mana pada satu masa perlu mendahulukan kepentingan rakyat tetapi dalam masa sama faktor-faktor lain tidak boleh dikesampingkan terutamanya kelestarian ekonomi negara atau dalam erti kata lainnya, keupayaan kewangan kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Najib berkata, untuk menjamin ekonomi negara tidak terkesan oleh senario ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan perlu mengekalkan defisit fiskal negara di tahap 4.7 peratus pada tahun ini selepas berjaya mengurangkan dari 5.6 peratus pada 2010 kepada 5 peratus pada tahun lalu.

Menurut beliau, kerajaan telah melaksanakan semakan semula atau pelarasan gaji anggota perkhidmatan awam secara berkala dengan semakan gaji terakhir pada 2007 di mana penjawat awam diberi kenaikan antara 7.5 peratus hingga 35 peratus dengan kumpulan sokongan menikmati kenaikan sebanyak 35 peratus dan kumpulan tertinggi 7.5 peratus.
''Bagi menjayakan segala perubahan menerusi program-program transformasi kerajaan, peranan yang amat penting terletak di bahu penjawat awam keseluruhannya.

''Sudah tiba masanya kita bersama-sama mentransformasikan perkhidmatan awam supaya menjadi lebih cekap, responsif dan berani berubah, transformasi yang berasaskan landasan yang telah digarap dan dinukilkan amat memerlukan sokongan padu penjawat awam," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan