Jumaat, 19 Julai 2013

Tips Untuk Menangani Stress Melampau


Stress adalah adalah sesuatu yang normal bagi setiap manusia dan kita tidak dapat lari daripada stress.Stress boleh berlaku disebabkan masalah yang kita hadapi seharian sama ada tekanan kerja, masalah keluarga, kewangan, sosial mahupun politik.

Ianya bukanlah satu penyakit namun stress yang melampau boleh menyebabkan anda menghadapi penyakit seperti jantung, migrain, darah tinggi dan sebagainya. Stress perlu ditangani dengan bijak dan berhemah bagi memastikan anda tidak tertekan dengan stress tersebut.

Bagi menangani stress dan mencegah stress dari berpanjangan anda boleh amalkan langkah-langkah seperti di bawah.

Bagaimana Cara Menangani Stress Melampau Anda

Langkah-langkah mengatasi stress
  • Banyakkan ibadah kepada Allah, mengaji dan Istigfar. Mendekatkan diri kepada yang esa boleh memberi ketenangan kepada kita. Sekiranya anda ditimpa musibah ataupun stress, banyakkan mengucap dan istigfar.InsyaAllah Allah akan membantu anda.
  • Sentiasa berfikiran positif. Sebagai contoh apabila seseorang mengkritik atau memarahi anda, cuba fikir kenapa anda dimarahi dan jadikan semua kritik sebagai motivasi anda supaya melakukan kerja dengan lebih baik.
  • Banyakkan bersukan dan riadah. Pengeluaran peluh boleh menyihatkan badan dan mengurangkan stress.
  • Luahkan perasaan stress anda kepada orang tersayang seperti ibu bapa, kekasih, isteri ataupun suami. Pastikan luahan hati tersebut hanya pada orang yang positif dan sekiranya anda mendapat nasihat yang negatif anda hendaklah fikir dan ambil yang baik sahaja. Sekiranya stress anda teruk, anda bolehlah berjumpa pakar kaunseling.
  • Banyakkan rehat. Stress boleh menyebabkan badan kita bertindakbalas dan menyebabkan kita mudah letih. Banyakkan berehat samaada mengambil cuti bersiar-siar ataupun cuba tidur bagi memberi anda tenaga untuk kita melakukan kerja seharian. Pastikan tidur anda cukup sekurang-kurangnya 8 jam sehari.
  • Kawal emosi dan berfikiran rasional. Jangan mudah melenting ataupun marah. Kawal emosi dan sekiranya anda tidak dapat menahan emosi maka cuba tarik nafas panjang dan menghembuskannya. Selain itu, sekiranya pada waktu itu anda dalam keadaan marah cuba ubah posisi anda dari posisi duduk ke berdiri ke posisi duduk.
  • Melancong bersama keluarga. Kerja yang sibuk boleh menimbulkan stress. Ambil cuti hujung minggu ataupun ambil cuti untuk melancong bersama orang tersayang dapat mengurangkan stress anda. Sila pastikan anda tidak fikir kerja menanti di pejabat semasa anda melancong.
  • Ambil masa berbual-bual atau lepak bersama kawan-kawan, makan di luar, ke taman tema, pantai ataupun isi masa lapang dengan hobi anda.
Stress amatlah membebankan dan setiap manusia tidak dapat mengelak daripada ditimpa masalah. Semoga panduan bagaimana mengatasi stress di atas dapat membantu anda.

Genius Yang Mendapat Ijazah Ketika Berusia 10 Tahun



Michael Kevin Kearney yang berusia 28 tahun telah diketahui umum menjadi pelajar termuda di dunia di sesebuah universiti dan berjaya mendapat ijazah pertamanya ketika berusia 10 tahun.


Pada tahun 2008 pula, Michael sekali lagi mencatat sejarah apabila berjaya memenangi hadiah 1 juta dolar dalam program realiti televisyen yang sangat popular.

Michael dilahirkan di Amerika Syarikat pada tahun 1984 dan sangat terkenal kerana telah mencipta beberapa buah rekod dunia dan akhirnya telah menjadi seorang pensyarah di universiti pada usia 17 tahun.

Dia mula bertutur ketika berusia 4 bulan dan pada usia 6 bulan, dia mengatakan pada doktor yang merawatnya, 'saya mendapat jangkitan di sebelah telinga kiri' dan belajar untuk membaca pada usia 10 bulan.

Semasa usianya mencecah 4 tahun, Michael telah didiagnos dengan ujian untuk John Hopkins program matematik dan berjaya mendapat markah penuh dalam ujian tersebut.

Dia berjaya menamatkan sesi persekoahan menengah pada usia 6 tahun, memasuki universiti iaitu Santa Rosa Junior College pada usia tersebut dan berjaya menamatkannya pada usia 10 tahun dalam bidang Associate of Science in Geology.

Dia disenaraikan di dalam Guinness Book sebagai pelajar lepasan universiti paling muda iaitu pada usia 10 tahun dengan mendapat ijazah dalam bidang antropologi.

Namun, pada tahun 2006, dia terus menjadi terkenal di serata dunia kerana berjaya mencecah ke peringkat akhir dalam kuiz Mark Burnett/AOL iaitu permainan Gold Rush dan menjadi manusia pertama yang berjaya memenangi hadiah 1 juta dolar untuk satu permainan realiti dalam talian.

-SP

Isteri Dipukau Dan Dilarikan ke Indonesia Akhirnya Dibawa Pulang


Selepas hampir sebulan dipukau dan dilarikan empat warga Indonesia ke Surabaya, Jawa Timur, Nur Idayu Abd. Aziz akhirnya selamat pulang ke pangkuan keluarganya dengan bantuan Kelab Putera 1Malaysia (KP1 M).




Kisah ibu kepada tiga orang anak berusia 34 tahun ini menarik perhatian pelbagai pihak apabila suaminya, Mohd. Riduan Abd. Razak mendakwa isterinya dilarikan ke Indonesia oleh pekerja kontrak yang pernah diupah membuat pengubahsuaian rumah mentuanya di Felda Bukit Sagu 2, Kuantan.

Mangsa yang hilang sejak 22 Jun lalu berjaya dikesan minggu lalu hasil maklumat pelbagai pihak selepas disembunyikan di sebuah rumah di kawasan pedalaman, Rambipuji yang terletak di daerah Jember kira-kira enam jam perjalanan dari Surabaya.

Menurut Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, mangsa selamat dibawa pulang selepas pihaknya menghantar pasukan yang diketuai Setiausaha Agung, Abdul Khalid Chairul dan Mohd. Riduan, 34, ke sana sejak seminggu lalu.

"Ketika kami jumpa dia keadaannya seperti tidak sedarkan diri malah langsung tidak mengenali suaminya dan kita mengambil masa tiga hari untuk mengubati dia dengan menggunakan kaedah rawatan Islam.

"Sekarang keadaannya bertambah baik biar pun tidak pulih sepenuhnya, kita dimaklumkan dia terkena ilmu sihir yang dilakukan oleh penculiknya," katanya ketika menyambut kepulangan Pasukan Misi KP1M dan pasangan itu dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail.

Menurut Abdul Azeez, usaha tersebut merupakan inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu Nur Idayu dibawa pulang dengan selamat ke pangkuan keluarganya.

Beliau sehubungan itu menasihati semua pihak terutama isteri yang suaminya bekerja jauh agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan pujuk rayu orang luar.

Katanya, kes tersebut antara contoh pekerja asing sanggup berbuat apa sahaja untuk melarikan anak gadis atau isteri orang sekiranya terleka.

"Saya juga mohon pihak polis supaya menyiasat kes ini sebaik Nur Idayu sembuh supaya dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya jangan larikan isteri orang dan ini tidak baik untuk institusi keluarga," katanya.

Sementara itu, Mohd. Riduan ketika ditemui mengucap ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelamatkan isterinya.

Katanya, dia tidak mempunyai sebarang perancangan buat masa ini dan hanya mahu berehat dan mengubati isterinya sehingga sembuh.

"Saya hanya mahu pulang dan berjumpa dengan anak-anak di kampung dan mencari kerja di Malaysia selepas terpaksa berhenti kerja di Qatar baru-baru ini," katanya.

Sementara itu di KUANTAN, kepulangan Nur Idayu di rumah bapanya di Felda Bukit Sagu 2 disambut pilu dan tangisan oleh ahli keluarga wanita tersebut terutama oleh tiga anaknya.

Nur Idayu dan suaminya tiba di rumah bapanya itu kira-kira pukul 6.15 petang hari ini namun enggan memberikan sebarang komen.

-Utusan

Rakan minta suspek kes samun serah diri

Subang Jaya: Rakan suspek kejadian samun dan menetak jari seorang doktor di SS19/6 di sini, Selasa lalu hingga putus meminta lelaki terbabit menyerah diri kepada polis kerana gambar mereka sudah disiarkan di beberapa akhbar, semalam. 

Rakan seorang daripada suspek yang identitinya enggan dikenali, berkata dia hanya mengetahui rakannya itu dikatakan terbabit dalam kes samun itu selepas berita yang disiarkan semalam hebah diperkatakan penduduk sekitar kawasan perumahannya. 
“Saya terkejut selepas melihat gambarnya terpampang di akhbar memandangkan dia seorang yang penakut. Seorang lagi suspek pula memang dikenali penduduk di sini. 

“Saya berharap dia dapat menyerah diri kepada polis untuk membantu siasatan kerana wajahnya sudah dikenali umum selepas disiarkan di akhbar,” katanya kepada BH, di sini semalam.

Husam Musa: PAS Takkan Bentuk K'jaan T'ganu Sekalipun Menang Di Kuala Besut

KUALA BESUT, 18 Julai (Bernama) -- PAS tidak akan membentuk kerajaan baharu di Terengganu sekalipun menang dalam pilihan raya kecil di Kuala Besut yang akan menjadikan jumlah kerusi Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang 16:16 di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Naib Presiden parti itu, Datuk Husam Musa berkata kerajaan Terengganu di bawah pemerintahan BN masih boleh dikekalkan.

"Cumanya nanti mereka (BN) tidaklah boleh bertindak sesuka hati. Kami sebagai pengimbang mempunyai peranan yang konstruktif untuk mencadangkan pengurusan negeri yang berorientasikan kebaikan rakyat jelata Terengganu," katanya dalam sidang media di markas besar pilihan raya PAS di Kampung Baharu di Kuala Besut, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyifatkan usaha PAS mewujudkan pentadbiran kerajaan Terengganu yang tergantung menerusi kempen 16:16 tidak akan diterima rakyat dan tindakan populis itu hanya bagi meraih perhatian pengundi Kuala Besut.

Selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lepas, Terengganu kekal ditadbir BN yang menang 17 kerusi, manakala baki 15 lagi diwakili pembangkang iaitu 14 daripada PAS dan satu wakil PKR.

Sementara itu, Husam yang juga pengarah pilihan raya kecil PAS untuk DUN Kuala Besut menyambut baik pendirian terbuka Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang menjelaskan mengenai isu pemberian tanah kepada empat wakil rakyat BN dalam kawasan Parlimen Besut.

Ahmad Said dalam jawapannya berkata sudah menjadi dasar Kerajaan BN Terengganu mengurniakan tanah kepada rakyat yang berhak dan berjasa, termasuklah ADUN sama ada lot tapak perumahan atau tanah pertanian.

PRK DUN Kuala Besut pada 24 Julai ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan Endot @ Azlan Yusof daripada PAS berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

--BERNAMA-

Puisi Noor Dayana Buat Ashraf Muslim

Wanita Bagi Penjelasan Tentang Puisi Dayana buat Ashraf



bukandayana

BONUS 2013





Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengkaji kemungkinan memberi bonus kepada penjawat awam menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.


Perdana Menteri berkata kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.

“Kita akan mengkaji perkara ini. Masih ada masa lagi,” katanya dalam satu persidangan media di bilik mesyuarat khas pejabatnya di sini sejurus selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan empat syarikat yang bersetuju melabur RM1.96 bilion di negeri-negeri di kawasan Koridor Utara.

Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai kemungkinan ada berita baik buat 1.4 juta penjawat awam berikutan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam yang masih berharap kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.

Sebelum ini, Presidennya Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbang pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam sempena Aidilfitri kerana ia dapat mengurangkan beban penjawat awam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

Kenyataan Cuepacs itu menyusul sehari selepas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus, dan pengumuman Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dua kali untuk tahun ini sudah boleh dianggap sebagai bonus.

-BERNAMA



Lagi guru mati kena tembak

Lagi guru mati kena tembak

Mangsa rebah di tempat duduk penumpang hadapan selepas ditembak. - Foto Azhar Hashim

Suspek lepas 6 das tembakan ketika mangsa berhenti di lampu isyarat

Kulim: Seorang guru mati terkena sekurang-kurangnya enam das tembakan dilepaskan dua lelaki ketika berhenti di lampu isyarat simpang empat Jalan Keladi di sini, semalam. 
Serangan berlaku jam 12.25 tengah hari, ketika guru sebuah sekolah rendah di Berapit, Bukit Mertajam, K Shanmugam, 45, yang memandu kereta jenis Toyota Wish dalam perjalanan ke sekolahnya atas urusan kerja. 



Ketika kereta mangsa berhenti di lampu isyarat, dua lelaki yang menaiki motosikal menghampiri kenderaannya sebelum melepaskan tembakan bertalu-talu menembusi cermin keretanya.

Kejadian ketiga

Ini kejadian ketiga bulan ini guru menjadi sasaran penembak upahan. Pada 4 Julai lalu, seorang guru, Mat Zaki Hashim, 35, cedera di leher selepas ditembak di Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas, manakala pada 7 Julai, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Bachok, Kelantan, Hashim Mat Zin, 43, mati selepas terkena tiga das tembakan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, berkata ketika kejadian, Shanmugam dikatakan baru keluar dari rumahnya di Taman Bidara di sini.

Katanya, siasatan awal menunjukkan dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha LC warna hitam melepaskan beberapa das tembakan selepas berhenti di sebelah kereta mangsa ketika lampu isyarat merah.

Kawasan kejadian sesak

“Ketika kejadian kawasan itu sesak kerana waktu puncak selain kedudukannya yang berhampiran simpang empat lampu isyarat Jalan Keladi. Mangsa ketika itu memandu sendirian dan berhenti kerana lampu isyarat merah.

“Sebaik terkena tembakan, mangsa dikatakan cuba menyelamatkan diri melalui pintu penumpang, namun tidak berjaya lalu rebah dan tersembam pada tempat duduk penumpang hadapan,” katanya ketika di temui di tempat kejadian di sini, semalam.

Mohd Nashir berkata, polis menemui beberapa butir kelongsong peluru di tempat kejadian, dan menyiasat motif pembunuhan.

Seorang saksi, Mat Ali saad, 63, berkata beliau mendengar bunyi letupan yang disangkanya bunyi mercun, namun tersedar ia bunyi tembakan apabila kereta mangsa melanggar keretanya.

“Ketika itu saya tidak sedar apa yang berlaku dan tiba-tiba sebuah motosikal berlalu melepasi kereta saya dan dalam masa sama bahagian belakang kereta saya dilanggar kereta mangsa.

“Saya keluar dari kenderaan dan terkejut melihat mangsa terkena tembakan,” katanya.

Rabu, 10 Julai 2013

Awas! Alat Pengesan Gadget Yang Di Gunakan Pencuri!

    


Kes kecurian notebook/laptop yang ditinggalkan dalam kereta sering berlaku. Pencuri biasanya menggunakan alat yang dipanggil Inductive Amplifier (rujuk gambar yang disertakan) yang dapat mengesan medan elektrik dari notebook/laptop tersebut. 

ALAT INI PULA BOLEH DIMILIKI OLEH SESIAPA.. harganya MURAH DAN SENANG DIBAWA KEMANA SAJA.

Sekiranya BATERI pada laptop dicabut dan diletak di tempat lain, masih juga tidak selamat kerana di dalam komponen laptop@notebook itu sendiri mempunyai BATERI didalamnya (CMOS).

UNTUK MENGELAKKAN RISIKO KECURIAN, SILA BAWA LAPTOP DAN LAIN-LAIN GAJET SEPERTI TABLET, SMART PHONE , DLL. BERSAMA ANDA.

Jangan sekali-kali tinggalkannya didalam kereta!! 

Semoga anda beringat dan selamat..

Awas! Jangan Cas Hand Phone Anda Terlalu Lama!

Kebiasannya, ramai orang akan mengeluh mengenai daya tahan bateri telefon pintar yang dimiliki oleh mereka.


Mereka selalunya akan sentiasa memantau jangka hayat bateri dan sekiranya hampir tinggal nyawa-nyawa ikan, akan segera dicas untuk kelangsungan penggunaan telefon pintar tersebut.

Menurut pakar yang telah membuat kajian, jika anda mahukan bateri untuk bertahan lama, anda tidak perlu mengecasnya sehingga mencecah tahap penuh 100 peratus.

Pakar teknologi, Eric Limer dari laman web Gizmodo menyatakan cas penuh adalah tidak baik untuk telefon, malah dia turut mencadangkan agar anda menutup suis ‘charger’ sebelum ianya mencatat bacaan 100 peratus penuh.

“Selalunya, daripada bateri penuh sehingga kosong, ianya tidak membantu, malah perkara tersebut boleh merosakkan telefon anda jika kerap melakukan sebegitu,” jelasnya.

Dia turut menambah, pengguna perlu sentiasa mengecas sehingga ke tahap 50 peratus jika berkemungkinan, tapi sekiranya anda mengecasnya terlalu lama, boleh membuatkan jangka hayat bateri itu semakin pendek.

Khamis, 4 Julai 2013

Isnin lihat anak bulan

Kuala Lumpur: Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan tarikh permulaan puasa ialah petang Isnin, 8 Julai bersamaan 29 Syaaban 1434 Hijrah, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. 

Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh itu adalah berdasarkan rukyah dan hisab. 
“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan puasa yang ditetapkan, melalui radio dan televisyen,” kata kenyataan itu. - BERNAMA 

DUN Pulau Pinang 'bunuh' demokrasi

Sidang tanpa sesi soal jawab, BN sifatkan tindakan angkuh DAP

Georgetown: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang bermula semalam mencetuskan kontroversi apabila sesi soal jawab tidak diadakan yang disifatkan oleh ADUN Barisan Nasional (BN) sebagai tindakan 'membunuh' sistem demokrasi berparlimen negara. 
Alasan ketiadaan masa yang diberikan oleh Speaker DUN negeri, Law Choo Kiang itu tidak dapat diterima oleh ADUN BN kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah sidang DUN negeri. 

Ia sangat mendukacitakan, tambahan pula ini adalah persidangan pertama. Sesi soal jawab penting dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini yang menguji kebijaksanaan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam menjawab isu,” Datuk Jahara Hamid, Ketua Pembangkang

Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid, berkata Speaker tidak mempunyai kuasa berbuat demikian dan ia menunjukkan keangkuhan kerajaan pimpinan DAP.

Beliau berkata, ia tidak pernah berlaku dalam sejarah DUN negeri dan menganggapnya sebagai ‘hukuman maut’ terhadap sistem demokrasi.

Sangat mendukacitakan

“Ia sangat mendukacitakan, tambahan pula ini adalah persidangan pertama. Sesi soal jawab penting dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini yang menguji kebijaksanaan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dalam menjawab isu,” katanya ketika bangun membantah keputusan itu. 
Namun, ia menyebabkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo bangun memintanya menarik balik kenyataannya itu.

“Saya minta Yang Berhormat tarik balik kenyataan yang menyatakan sistem demokrasi sudah maut dalam dewan ini. Saya minta tarik balik kerana demokrasi tidak maut dalam dewan ini,” katanya.

Keengganan Jahara menarik balik kenyataan itu menyebabkan Jagdeep meninggikan suara dan berlaku pertengkaran apabila Jahara meminta ADUN Datok Keramat itu supaya tidak mengherdiknya.

“Saya bercakap mengikut peraturan dewan, iaitu keperluan untuk memberitahu. Saya percaya sesi soal jawab ini bukan saja penting kepada wakil pembangkang tapi semua ahli dewan,” katanya.

Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) kemudian meminta isu kekangan masa tidak dijadikan alasan untuk menafikan keperluan mengadakan sesi soal jawab pada sidang DUN kali ini.

Bagi menyelesaikan ketegangan, Speaker kemudian campur tangan dengan mengarahkan ahli dewan bertenang dan meminta mereka menghormati keputusan itu.

“Saya sudah jelaskan ketiadaan sesi soal jawab pada sidang kali ini tidak melanggar peraturan mesyuarat, tidak menjadi masalah dan berharap ia tidak dibangkitkan lagi,” katanya.

Persidangan DUN ke-13 Penggal Satu itu bermula kelmarin dengan majlis perasmian oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan akan berlangsung sehingga esok.

Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mengakui hairan dengan keputusan itu berkata, ia tidak wajar berlaku dan sesi soal jawab sepatutnya dibenarkan.

“Saya jangka ia berlaku kerana faktor masa, bagaimanapun ia perlu disemak semula oleh Speaker,” katanya kepada pemberita selepas sidang berhenti rehat.

Namun, Guan Eng berkata, Law tidak sepatutnya dipersalahkan kerana baru dilantik pada 28 Jun lalu.

Law, ketika dihubungi malam tadi mendakwa tidak berpeluang mengubah atur cara mesyuarat kerana pelantikan sebagai Speaker terlalu hampir dengan sidang DUN yang bermula Selasa lalu.

“Ketika dilantik Speaker, semua atur cara mesyuarat sudah diputuskan Penasihat Undang-udang negeri dan Setiausaha DUN. Keputusan ini dibuat kerana kekangan masa kerana mesyuarat kali ini dibuat berserta majlis angkat sumpah. Mungkin jika pelantikan dilakukan lebih awal, saya sempat menyemak atau merombak atur cara mesyuarat,” katanya.

Pelantar minyak milik Itali tenggelam dekat Sungai Congo

ROME: Seorang pekerja warga Bulgaria dilaporkan hilang selepas pelantar minyak di luar pesisir milik syarikat Itali, Saipem tenggelam berdekatan perairan Angola dan Republik Congo selepas dasar laut runtuh, awal pagi tadi. 

Saipem berkata, kerja menggali bermula Isnin dan tenggelam pada kedalaman 40 meter dekat Sungai Congo. 
"Langkah kecemasan diaktifkan bagi memastikan kerja memindahkan kakitangan di atasnya," katanya. 

Daripada 103 kakitangan, seorang dilaporkan hilang dan enam mengalami kecederaan ringan. 
Syarikat itu berkata, tiada laporan berkaitan pencemaran. - AFP 

Spa untuk Muslimah

Selesa dan menyenangkan apabila mengunjungi spa dan salun berkonsepkan Muslimah yang terletak di Presint 9, Putrajaya.
Malah, keadaan sekitarnya juga tampak lebih santai serta ceria dengan hasil sentuhan dekorasi sederhana daripada pemilik Spa dan Salun Muslimah Beauty, Aya Mohd. 
FotoWalaupun tampak biasa tanpa kehadiran alunan irama yang menenangkan dan bauan herba, namun ia begitu disenangi pengunjungnya kerana mereka boleh melakukan aktiviti memanjakan diri tanpa terganggu dengan kehadiran lelaki. 

Menurut Aya, konsep Muslimah sengaja diambil selepas melihat keinginan wanita yang mahu melakukan rawatan kecantikan dengan lebih selesa tanpa bercampur dengan jantina lain.
“Malah, jika ada suami yang ingin menemani isteri menjalani rawatan di sini juga saya memberitahu bahawa kami tidak membenarkan lelaki masuk ke dalam spa.
“Ia bagi menghormati pengunjung lain selain menitikberatkan konsep spa Muslimah ini supaya aurat wanita yang mendapatkan perkhidmatan di sini terjaga,” katanya yang turut memiliki cawangan spa konsep sama di Pusat Perdagangan Deluxe, Dengkil, Selangor. 

Disebabkan tidak banyak spa atau salun yang menggunakan konsep Muslimah itu, Aya mengambil peluang berkenaan untuk membantu wanita menjalani rawatan dalam keadaan menyeronokkan. 

Ia juga dilakukan kerana memahami ramai wanita Muslimah masa kini yang tidak mahu mendedahkan aurat mereka kepada orang lain sekali gus mencari spa sesuai untuk melakukan rawatan kecantikan. 

Di samping menjaga bahagian tubuh badan yang perlu ditutup, Muslimah juga memerlukan tempat sesuai untuk melakukan rawatan kecantikan bagi mengekalkan keanggunan mereka setiap masa. 

“Bermula daripada hujung rambut hingga ke kaki, semua perkhidmatan rawatan kecantikan ada disediakan yang membuatkan wanita berhampiran senang mengunjunginya pada bila-bila masa saja. 

“Ramai yang datang membuat rawatan muka, urutan dan mandi susu kerana mementingkan penjagaan badan yang cantik serta menarik -Harian Metro
“Selain itu, ada juga pengunjung yang gemar membuat sentalan badan kerana kami menggunakan bahan sesuai untuk keperluan tubuh masing-masing,” katanya. 

Tambahnya, ada beberapa jenis bahan sentalan digunakan seperti serbuk kopi, beras, halia dan manggis yang mempunyai kebaikan kepada badan. 

Untuk wanita yang mahu kesan kulit lembut, licin dan gebu, bahan sentalan serbuk kopi dan beras lebih sesuai digunakan. Menariknya, bahan sentalan beras yang digunakan itu juga boleh disapu pada muka sebagai pembersih atau pupur bagi mengurangkan masalah jerawat. 

Bahan sentalan halia lebih sesuai untuk membantu membuang angin manakala jenis manggis pula bagi memutihkan kulit. Namun, ia perlu dilakukan dua kali dalam seminggu bagi mendapatkan kesan pada kulit atau badan. 

Rawatan berkenaan bukan hanya boleh dilakukan di spa, malah ia juga sesuai dibuat di rumah kerana Aya turut menjual bahan sentalan itu kepada pengunjung yang mahu melakukan sendiri. 

“Selain itu, di sini ada juga menyediakan sauna herba bagi pengunjung yang mahu membuang angin atau toksik dalam badan, memecahkan lemak dan membantu melancarkan darah. 

“Biasanya, ia mengambil tempoh 15 hingga 20 minit dan tidak menggalakkan pelanggan untuk melakukan lebih daripada 30 minit kerana jika terlalu lama boleh menyebabkan mereka berasa pening,” tegasnya. 

Namun, Aya mengingatkan supaya pengunjung perlu membuat tempahan terlebih dulu terutamanya pada hari Jumaat kerana ia adalah waktu yang ramai pelanggan dan agak sibuk. 

Ia bagi mengelakkan pelanggan terpaksa menunggu lama dan lebih menyedihkan mereka langsung tidak dapat melakukan rawatan kerana jumlah pengunjung yang ramai. 

Pekak angkara penampar cikgu

FotoIpoh: Seorang pelajar tingkatan dua disahkan pekak telinga kirinya akibat ditampar seorang guru wanita selepas mangsa didakwa tidak khusyuk dan mengganggu rakan lain ketika solat berjemaah di surau sekolahnya.
Kejadian pada Selasa lalu itu menyebabkan mangsa, Nur Alif Suliman, 14, mengalami pendarahan selain gegendang telinganya disahkan berlubang oleh doktor pakar yang merawatnya.
Mangsa yang ditemui di rumahnya di Kampung Bakar Bata, Tambun, di sini, berkata, kejadian berlaku jam 6.30 petang ketika mangsa bersama rakan lain menunaikan solat Asar di surau sekolah.

“Ketika itu saya bersolat di saf belakang. Pada masa sama terdapat beberapa pelajar lain membuat bising dan bermain-main ketika bersembahyang di saf hadapan.
“Tiba-tiba muncul seorang guru wanita dari arah belakang mencubit tubuh saya. Saya memaling muka ke belakang dan guru itu terus menampar telinga kiri saya dengan kuat,” katanya.- Harian Metro

Rabu, 3 Julai 2013

Pokok Pisang Mengandung?




“Saya terkejut apabila melihat satu daripada pokok pisang emas yang ditanam berbuah di batangnya dan kelihatan seperti sedang mengandung,” kata seorang pencuci bangunan selepas melihat kejadian aneh itu di rumahnya di Kampung Tanjung, Jeram di sini

Siti Aishah Ibrahim, 37, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas membersihkan dan menebas semak samun di sekitar kawasan rumahnya pada petang Ahad lalu. 

“Tidak sangka pula petang itu saya akan menjumpai buah pisang yang keluar di batangnya seperti orang mengandung iaitu pada pokok pisang yang ditanam oleh arwah ibu lebih setahun lalu. 

“Sejak setahun lalu, pokok terbabit telah mengeluarkan tiga kali hasil namun ini merupakan kali pertama ia keluar di batang seakan mengandung dan tidak berlaku pada pokok pisang yang lain,” katanya kepada Sinar Harian. 

Siti Aishah berkata, buat masa ini dia tidak berhasrat menebang pokok itu kerana mahu menunggu keseluruhan hasilnya. 

“Saya tidak akan tebang dan mahu melihat apa akan terjadi seterusnya kerana ia juga berbuah dalam keadaan menaik dan bukan menurun seperti pisang yang lain. 

“Kami sekeluarga bersyukur diberi peluang melihat perkara aneh tetapi benar seperti ini dan berharap menerima rezeki daripada Tuhan,” katanya.

Diana Danielle Selamat Lahirkan Bayi Lelaki





Pelakon Farid Kamil mendapat anak lelaki selepas isterinya pelakon Diana Danielle Danny Beeson, 22, bersalin di Australia pada Selasa


Berita itu turut disahkan oleh penerbit filem David Teo yang juga Pengarah Urusan syarikat produksi Metrowealth Interational Group (MIG) kepada mStar Online pada Selasa.

“Farid menghantar mesej dari Australia dengan memberitahu sayalah orang pertama yang mendapat berita isterinya iaitu Diana Danielle selamat bersalin anak lelaki,” katanya kepada mStar Online

David berkata, Farid telah memaklumkan Diana sepatutnya bersalin pada 15 Julai ini tetapi proses kelahiran berlaku lebih awal.

Bayi berkenaan lahir kira-kira pukul 4.30 petang waktu Malaysia.

“Apa-apa pun proses kelahiran berjalan dengan baik. Bayi selamat, ibu pun selamat dan sihat,” katanya.

Terdahulu Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 32, memuat naik gambar bayi berkenaan kira-kira pukul 6.30 petang Selasa melalui laman sosial Instagram miliknya dengan kenyataan; “welcome to the world my son” (selamat datang ke dunia anak lelaki ku).

Dalam Instagram itu juga Farid turut menulis berat bayi tersebut ialah 9.7 paun (4.3 kilogram)

Sebelum ini industri hiburan dikejutkan apabila Farid memuat naik gambar dia mengucup seorang bayi sehingga menimbulkan salah faham kanonnya Diana Danielle telah melahirkan anak sebelum genap sembilan bulan usia perkahwinan mereka.

Bagaimanapun gambar itu telah dinafikan oleh adik Farid iaitu Fadzil Zahari yang mendakwa bayi itu adalah anak saudara mereka yang lahir pada 11 Mei lalu.

Farid dan Diana bernikah pada 3 November 2012 dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Flamingo by the Lake dekat sini.

Selepas beberapa bulan berumah tangga, Diana berhijrah sementara ke Sydney, Australia untuk melanjutkan pelajaran di negara itu. 

Bangunan Terbesar Di Dunia Mula Beroperasi

China membuka sebuah bangunan terbesar di dunia kelmarin dengan kompleks tersebut berkeluasan 1.76 juta meter persegi, lapor akhbar Daily Mail semalam.




Dinamakan Pusat Alaf Baharu Global, bangunan tersebut mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.
Kompleks gergasi itu boleh memuatkan 20 bangunan Rumah Opera Sydney atau tiga bangunan Pentagon.Binaan tersebut terletak di Chengdu, dalam wilayah Sichuan di barat daya China.
Menurut beberapa laporan, bangunan tersebut panjang 500 meter dengan lebar 400 meter dan tinggi 100 meter.Kompleks tersebut dilengkapi beberapa pusat beli-belah, hotel, sebuah taman tema air, gelanggang luncur ais, hotel dan sebuah perkampungan Mediterranean.Ia direka oleh seorang arkitek berdarah campuran Iraq dan Britain, Zaha Hadid. -Agensi



Majikan tanggung RM6,200 kos amah

Kuala Lumpur: Majikan di negara ini hanya perlu menanggung RM6,200 sebagai kos penggajian Pekerja Domestik Indonesia (PDI) atau pembantu rumah Indonesia daripada kadar baru RM8,000, yang diumumkan kelmarin. 
Kementerian Sumber Manusia menjelaskan, kadar baru itu adalah termasuk RM1,800 yang boleh dibuat potongan gaji oleh majikan selama enam bulan. 


“Ini bermakna kos perlu ditanggung majikan hanyalah RM6,200. Struktur kos diumumkan itu mengambil kira perbincangan bersama kerajaan Indonesia dan cadangan struktur kos yang dikemukakan oleh MRA (Agensi Pengambilan Pekerja Asing Malaysia) dan IRA (Agensi Pengambilan Pekerja Asing Indonesia) berjumlah RM8,500 hingga RM11,000,” kata kementerian dalam kenyataan, semalam.

Tetap kos ambil amah

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju menetapkan kos pengambilan pembantu rumah asing Indonesia pada kadar RM8,000 selepas mengambil kira kos yang wujud membabitkan kedua-dua negara.

Antara kos yang terbabit ialah latihan selama 200 jam, kos dokumen perjalanan, kos makanan dan penginapan pembantu rumah sebelum diserahkan kepada majikan, kos pengangkutan, kos pemeriksaan kesihatan serta bayaran kepada agensi pekerjaan di kedua-dua negara.
Hasil perbandingan

Kenyataan itu menambah, keputusan struktur kos baru itu juga sudah dibuat perbandingan dengan kos penghantaran pembantu rumah warga Indonesia ke beberapa negara penerima lain seperti Arab Saudi, Singapura, Taiwan dan Hong Kong yang secara purata adalah antara RM6,100 hingga RM8,900.

“Kos ini tidak termasuk kos lain yang dikenakan agensi pekerjaan di negara berkenaan,” katanya.

Katanya, Malaysia tidak mampu bersaing untuk menarik IRA supaya terus menghantar pembantu rumah ke negara ini jika kerajaan mengekalkan struktur kos RM4,511 di bawah memorandum persefahaman (MoU) 2011.

Bagi tempoh 1 Disember 2011 hingga sekarang, jumlah pembantu rumah Indonesia dibawa masuk hanya 290 orang. - BERNAMA

Kadar bayaran zakat fitrah di Selangor, Kelantan RM7

Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah sebanyak RM7 seorang pada tahun ini.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata kadar itu juga sudah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan kutipan akan dilaksanakan oleh amil dilantik Lembaga Zakat Selangor (LZS). 

“LZS mensasarkan mampu mengutip lebih RM19 juta pada tahun ini, berbanding 2012 sebanyak RM18.8 juta.

“Dana zakat itu kelak sebahagiannya akan diagihkan kepada keluarga fakir dan miskin serta mereka yang tersenarai sebagai penerima zakat di negeri ini (asnaf),” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mohamad berkata, setiap keluarga fakir miskin dan keluarga asnaf bakal menerima wang tunai sehingga RM1,000 berdasarkan bilangan tanggungan, selain peralatan ibadah, termasuk sejadah, telekung, kain pelekat dan tafsir al-Quran.

Mengulas mengenai kutipan zakat harta, beliau berkata, sepanjang lima bulan pertama 2013, LZS mengutip sebanyak RM143.1 juta berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak RM125.8 juta.

Kutipan zakat harta meningkat 
“Perangkaan menunjukkan kutipan zakat harta meningkat 14 peratus hasil peningkatan 22 peratus jumlah pembayar zakat di negeri ini iaitu daripada 141,763 kepada 172,508 orang,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pertambahan kutipan itu juga menyaksikan LZS mampu meningkatkan jumlah agihan sehingga 28 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya iaitu daripada RM136.4 juta kepada RM174.2 juta.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Kamaruddin Mohd Zin berkata, pihaknya menjangka mengutip RM8 juta zakat fitrah, berbanding RM7.9 juta pada tahun lalu, meningkat sebanyak satu peratus.

“Bagi tujuan kutipan, seramai 611 amil dilantik untuk mengutip zakat fitrah bagi pihak MAIK terdiri daripada imam masjid setiap mukim, pegawai agama di kem tentera, balai polis dan pusat tahanan,” katanya.

Kadar itu adalah sama dengan kadar yang dikenakan pada tahun lalu.

Sementara itu, MAIK berjaya mengutip pelbagai jenis zakat sebanyak lebih RM53 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding lebih RM53 juta bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak lebih 43 peratus.

“Kita menjangkakan tahun ini dapat mengutip pelbagai jenis zakat sebanyak RM120 juta,” katanya.

20,000 rakyat kita diburu imigresen UK

 Ramai tinggal secara haram selepas visa tamat tempoh, disalah guna

London: Kira-kira 20,000 rakyat Malaysia menetap secara haram di United Kingdom (UK) dan mereka kini diburu pihak berkuasa untuk diambil tindakan dan dihantar pulang. 
Sumber di sini memberitahu kebanyakan mereka tinggal secara haram selepas tamat tempoh visa atau menyalahgunakan visa. Mereka kebanyakannya bekerja atau berniaga kerana tertarik dengan gaji atau hasil lumayan. 
Jika mereka ada masalah, kita sedia membantu tetapi jangan tinggal secara haram di sini” Zakaria Sulong, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom


Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK), Datuk Seri Zakaria Sulong, ketika diminta mengulas bagaimanapun berkata pihaknya tidak mempunyai perangkaan rasmi jumlah sebenar rakyat Malaysia tinggal secara haram di sekitar UK.

Peraturan ketat

“Peraturan imigresen Kerajaan Britain agak ketat dan tidak berkompromi dalam isu ini meskipun mereka mengalu-alukan kedatangan pelancong, pelajar dan peniaga Malaysia yang masuk dan keluar secara sah.

“Saya harap rakyat Malaysia patuh kepada undang-undang Britain dan tidak menyalahgunakan visa. Jika mereka ada masalah, kita sedia membantu tetapi jangan tinggal secara haram di sini,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada isu itu turut disentuh dalam perbincangan dua hala antara Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Britain, David Cameron, esok.

Najib dalam rangka lawatan kerja empat hari ke UK dan hari ini beliau menemui 130 pelajar tajaan FELDA di Universiti LimKokWing sebelum menghadiri taklimat Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang akan diadakan di sini Oktober nanti.

Isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pula mengadakan lawatan ke pusat autisme di Treehouse School di sini.

Permit khas pelajar

Zakaria berkata, pelajar yang melanjutkan pengajian di UK ada permit khas dan begitu juga di kalangan rakyat Malaysia yang ingin bekerja di sini, memerlukan permit kerja.

Sebelum ini UK memutuskan tidak mengenakan keperluan visa kepada pemegang pasport Malaysia selepas berpuas hati dengan usaha negara menangani masalah rakyatnya yang tinggal melebihi tempoh di UK.

Difahamkan, Malaysia berada di kalangan 10 negara tertinggi bagi pencabulan undang-undang imigresen di UK.

Seorang maut, dua tertimbus tanah runtuh di Ukay Perdana

KUALA LUMPUR: Seorang maut, dua lagi masih tertimbus dan seorang selamat dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan di Sierra Ukay, Ukay Perdana, dekat Ampang, jam 11.30 pagi tadi.

Menurut Bomba dan Penyelamat Ampang, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tanah runtuh itu jam 11.29 pagi dan anggotanya terus bergegas ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat. 
Laporan awal kejadian terdapat empat mangsa dengan dua dapat dikeluarkan. Seorang mangsa maut, manakala seorang lagi selamat. 



Dua lagi mangsa dipercayai tertimbus dan dipercayai mati –Berita Harian 

Selasa, 2 Julai 2013

Stor simpan kasut jenama tiruan diserbu

Ampang: Menyedari permintaan tinggi melalui penjualan barangan berjenama, satu sindiket pengedaran kasut jenama tiruan hampir 100 peratus asli dikesan beroperasi di Pandan Indah, di sini.
Difahamkan, sindiket berkenaan menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat lengkap dengan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai stor penyimpanan barangan sebelum diedarkan di sekitar pasar malam.

Bagaimanapun, tindakan peniaga yang mengaut keuntungan melalui jenama popular palsu itu dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur yang menjalankan serbuan di rumah berkenaan, petang semalam. Pengarahnya, Abu Samah Shabudin berkata, serbuan kira-kira jam 2 petang dilakukan hasil maklumat pemilik jenama dan risikan pihaknya sejak seminggu lalu.
“Hasil serbuan, lebih 500 pasang kasut dan selipar jenama Adidas dan Nike disyaki tiruan ditemui di depan rumah berkenaan dengan nilai rampasan mencecah RM50,000.

“Kita menemui lebih 40 kotak dalam rumah itu disyaki sedia untuk diedarkan kepada peniaga pasar malam dan untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, serbuan itu diketuai Penolong Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Kamaruddin Mohammad Yassin bersama tujuh pegawai dan anggota.

“Ketika serbuan dijalankan, rumah berkenaan tidak berpenghuni namun, pemeriksaan lanjut menemui puluhan kotak di depan rumah itu yang mengandungi kasut dan selipar disyaki dari China,” katanya.

Sumber- Harian Metro Online