Datuk Seri Najib Tun Razak berkata
kerajaan akan mengkaji kemungkinan memberi bonus kepada penjawat awam menjelang
ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.
Perdana Menteri berkata kerajaan masih
mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.
“Kita akan mengkaji
perkara ini. Masih ada masa lagi,” katanya dalam satu persidangan media di
bilik mesyuarat khas pejabatnya di sini sejurus selepas menyaksikan majlis
menandatangani perjanjian antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara
(NCIA) dengan empat syarikat yang bersetuju melabur RM1.96 bilion di
negeri-negeri di kawasan Koridor Utara.
Beliau berkata
demikian semasa ditanya mengenai kemungkinan ada berita baik buat 1.4 juta
penjawat awam berikutan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam yang masih berharap kerajaan akan memberi
bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam walaupun mereka akan menerima
kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.
Sebelum ini,
Presidennya Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbang pemberian bonus
setengah bulan gaji kepada penjawat awam sempena Aidilfitri kerana ia dapat
mengurangkan beban penjawat awam membuat persiapan hari raya kerana
perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.
Kenyataan Cuepacs
itu menyusul sehari selepas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa
berkata kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus, dan
pengumuman Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dua kali untuk tahun ini sudah boleh
dianggap sebagai bonus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan