Rabu, 3 Julai 2013

Kadar bayaran zakat fitrah di Selangor, Kelantan RM7

Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah sebanyak RM7 seorang pada tahun ini.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata kadar itu juga sudah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan kutipan akan dilaksanakan oleh amil dilantik Lembaga Zakat Selangor (LZS). 

“LZS mensasarkan mampu mengutip lebih RM19 juta pada tahun ini, berbanding 2012 sebanyak RM18.8 juta.

“Dana zakat itu kelak sebahagiannya akan diagihkan kepada keluarga fakir dan miskin serta mereka yang tersenarai sebagai penerima zakat di negeri ini (asnaf),” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mohamad berkata, setiap keluarga fakir miskin dan keluarga asnaf bakal menerima wang tunai sehingga RM1,000 berdasarkan bilangan tanggungan, selain peralatan ibadah, termasuk sejadah, telekung, kain pelekat dan tafsir al-Quran.

Mengulas mengenai kutipan zakat harta, beliau berkata, sepanjang lima bulan pertama 2013, LZS mengutip sebanyak RM143.1 juta berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak RM125.8 juta.

Kutipan zakat harta meningkat 
“Perangkaan menunjukkan kutipan zakat harta meningkat 14 peratus hasil peningkatan 22 peratus jumlah pembayar zakat di negeri ini iaitu daripada 141,763 kepada 172,508 orang,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pertambahan kutipan itu juga menyaksikan LZS mampu meningkatkan jumlah agihan sehingga 28 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya iaitu daripada RM136.4 juta kepada RM174.2 juta.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Kamaruddin Mohd Zin berkata, pihaknya menjangka mengutip RM8 juta zakat fitrah, berbanding RM7.9 juta pada tahun lalu, meningkat sebanyak satu peratus.

“Bagi tujuan kutipan, seramai 611 amil dilantik untuk mengutip zakat fitrah bagi pihak MAIK terdiri daripada imam masjid setiap mukim, pegawai agama di kem tentera, balai polis dan pusat tahanan,” katanya.

Kadar itu adalah sama dengan kadar yang dikenakan pada tahun lalu.

Sementara itu, MAIK berjaya mengutip pelbagai jenis zakat sebanyak lebih RM53 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding lebih RM53 juta bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak lebih 43 peratus.

“Kita menjangkakan tahun ini dapat mengutip pelbagai jenis zakat sebanyak RM120 juta,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan