Selasa, 2 Julai 2013

Stor simpan kasut jenama tiruan diserbu

Ampang: Menyedari permintaan tinggi melalui penjualan barangan berjenama, satu sindiket pengedaran kasut jenama tiruan hampir 100 peratus asli dikesan beroperasi di Pandan Indah, di sini.
Difahamkan, sindiket berkenaan menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat lengkap dengan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai stor penyimpanan barangan sebelum diedarkan di sekitar pasar malam.

Bagaimanapun, tindakan peniaga yang mengaut keuntungan melalui jenama popular palsu itu dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur yang menjalankan serbuan di rumah berkenaan, petang semalam. Pengarahnya, Abu Samah Shabudin berkata, serbuan kira-kira jam 2 petang dilakukan hasil maklumat pemilik jenama dan risikan pihaknya sejak seminggu lalu.
“Hasil serbuan, lebih 500 pasang kasut dan selipar jenama Adidas dan Nike disyaki tiruan ditemui di depan rumah berkenaan dengan nilai rampasan mencecah RM50,000.

“Kita menemui lebih 40 kotak dalam rumah itu disyaki sedia untuk diedarkan kepada peniaga pasar malam dan untuk pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, serbuan itu diketuai Penolong Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Kamaruddin Mohammad Yassin bersama tujuh pegawai dan anggota.

“Ketika serbuan dijalankan, rumah berkenaan tidak berpenghuni namun, pemeriksaan lanjut menemui puluhan kotak di depan rumah itu yang mengandungi kasut dan selipar disyaki dari China,” katanya.

Sumber- Harian Metro Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan