Khamis, 4 Julai 2013

Spa untuk Muslimah

Selesa dan menyenangkan apabila mengunjungi spa dan salun berkonsepkan Muslimah yang terletak di Presint 9, Putrajaya.
Malah, keadaan sekitarnya juga tampak lebih santai serta ceria dengan hasil sentuhan dekorasi sederhana daripada pemilik Spa dan Salun Muslimah Beauty, Aya Mohd. 
FotoWalaupun tampak biasa tanpa kehadiran alunan irama yang menenangkan dan bauan herba, namun ia begitu disenangi pengunjungnya kerana mereka boleh melakukan aktiviti memanjakan diri tanpa terganggu dengan kehadiran lelaki. 

Menurut Aya, konsep Muslimah sengaja diambil selepas melihat keinginan wanita yang mahu melakukan rawatan kecantikan dengan lebih selesa tanpa bercampur dengan jantina lain.
“Malah, jika ada suami yang ingin menemani isteri menjalani rawatan di sini juga saya memberitahu bahawa kami tidak membenarkan lelaki masuk ke dalam spa.
“Ia bagi menghormati pengunjung lain selain menitikberatkan konsep spa Muslimah ini supaya aurat wanita yang mendapatkan perkhidmatan di sini terjaga,” katanya yang turut memiliki cawangan spa konsep sama di Pusat Perdagangan Deluxe, Dengkil, Selangor. 

Disebabkan tidak banyak spa atau salun yang menggunakan konsep Muslimah itu, Aya mengambil peluang berkenaan untuk membantu wanita menjalani rawatan dalam keadaan menyeronokkan. 

Ia juga dilakukan kerana memahami ramai wanita Muslimah masa kini yang tidak mahu mendedahkan aurat mereka kepada orang lain sekali gus mencari spa sesuai untuk melakukan rawatan kecantikan. 

Di samping menjaga bahagian tubuh badan yang perlu ditutup, Muslimah juga memerlukan tempat sesuai untuk melakukan rawatan kecantikan bagi mengekalkan keanggunan mereka setiap masa. 

“Bermula daripada hujung rambut hingga ke kaki, semua perkhidmatan rawatan kecantikan ada disediakan yang membuatkan wanita berhampiran senang mengunjunginya pada bila-bila masa saja. 

“Ramai yang datang membuat rawatan muka, urutan dan mandi susu kerana mementingkan penjagaan badan yang cantik serta menarik -Harian Metro
“Selain itu, ada juga pengunjung yang gemar membuat sentalan badan kerana kami menggunakan bahan sesuai untuk keperluan tubuh masing-masing,” katanya. 

Tambahnya, ada beberapa jenis bahan sentalan digunakan seperti serbuk kopi, beras, halia dan manggis yang mempunyai kebaikan kepada badan. 

Untuk wanita yang mahu kesan kulit lembut, licin dan gebu, bahan sentalan serbuk kopi dan beras lebih sesuai digunakan. Menariknya, bahan sentalan beras yang digunakan itu juga boleh disapu pada muka sebagai pembersih atau pupur bagi mengurangkan masalah jerawat. 

Bahan sentalan halia lebih sesuai untuk membantu membuang angin manakala jenis manggis pula bagi memutihkan kulit. Namun, ia perlu dilakukan dua kali dalam seminggu bagi mendapatkan kesan pada kulit atau badan. 

Rawatan berkenaan bukan hanya boleh dilakukan di spa, malah ia juga sesuai dibuat di rumah kerana Aya turut menjual bahan sentalan itu kepada pengunjung yang mahu melakukan sendiri. 

“Selain itu, di sini ada juga menyediakan sauna herba bagi pengunjung yang mahu membuang angin atau toksik dalam badan, memecahkan lemak dan membantu melancarkan darah. 

“Biasanya, ia mengambil tempoh 15 hingga 20 minit dan tidak menggalakkan pelanggan untuk melakukan lebih daripada 30 minit kerana jika terlalu lama boleh menyebabkan mereka berasa pening,” tegasnya. 

Namun, Aya mengingatkan supaya pengunjung perlu membuat tempahan terlebih dulu terutamanya pada hari Jumaat kerana ia adalah waktu yang ramai pelanggan dan agak sibuk. 

Ia bagi mengelakkan pelanggan terpaksa menunggu lama dan lebih menyedihkan mereka langsung tidak dapat melakukan rawatan kerana jumlah pengunjung yang ramai. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan