Komitmen kerajaan melengkapkan murid dengan kemahiran baru bagi merebut peluang dan menangani cabaran abad ke-21 bukan calang-calang usaha, sebaliknya diteraskan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Malah, dua soalan utama dibangkitkan ketika awal pembangunan pelan itu bertumpu kepada bentuk murid yang bakal ditampilkan dan bagaimana bentuk sistem pendidikan dan sokongan yang dapat disediakan mencapai hasrat yang diinginkan.
Pegawai Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU), Dr Rosli Yacob berkata, dialog nasional dan Penilaian Semula Pendidikan Negara sebelum penghasilan PPPM banyak membantu kerajaan bagi mengatur langkah ke arah pemerkasaan sektor pendidikan.
“Daripada itulah terhasilnya penetapan lima aspirasi sistem pendidikan, enam aspirasi murid dan 11 anjakan yang mampu memimpin kepada perubahan serta transformasi sektor pendidikan, supaya akhirnya kita setanding di peringkat antarabangsa. “Setiap satu aspirasi dan anjakan ini mempunyai kaitan, malah bagi tempoh 13 tahun pelan berlangsung, sudah ditetapkan setiap rancangannya agar tiada aspek yang tercicir,” katanya ketika ditemui di pejabat PADU, di sini.
Menjelas lanjut, Dr Rosli berkata, 11 anjakan PPPM dilaksanakan dalam tiga gelombang. Gelombang 1 (2013-2015), mengubah sistem dengan memberi sokongan kepada guru dan penekanan kepada kemahiran teras. Gelombang 2 (2016-2020) mempercepatkan peningkatan kemajuan sistem dan Gelombang 3 (2021-2025) beranjak ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi.
Bagaimanapun, katanya, tiada satu daripada anjakan itu ditekankan sebagai utama, sebaliknya setiap perkara di bawahnya dinilai sebagai berkepentingan dan perlu dipastikan tercapai bagi memastikan PPPM berjaya menjelang 2025.
“Berdasarkan itu, kita tidak meletakkan mana-mana daripada 11 anjakan ini sebagai utama, sebaliknya setiap satu daripada perkara ini adalah penting untuk melihat PPPM berjaya. Ia saling berkait rapat,” katanya.
Anjakan 1 - menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti, Anjakan 2 - memastikan setiap murid mahir dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, Anjakan 3 - melahirkan rakyat Malaysia dengan penghayatan nilai, Anjakan 4 - transformasi keguruan sebagai profesion pilihan dan Anjakan 5 - memastikan kepemimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
Anjakan 6 - mengupayakan Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah bagi menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan, Anjakan 7 - memanfaatkan teknologi komunikasi maklumat bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia, Anjakan 8 - mentransformasi kebolehupayaan dan kapasiti penyampaian kementerian dan Anjakan 9 - bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
Anjakan 10 adalah memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit, manakala Anjakan 11 meningkatkan ketelusan untuk akauntabiliti awam secara langsung.
“Empat kategori yang boleh mengelaskan setiap anjakan ini iaitu Pembelajaran Murid membabitkan anjakan satu, dua, tiga dan enam; Guru dan Pemimpin Sekolah (anjakan empat dan lima), Transformasi Kementerian (anjakan enam, tujuh, lapan dan 10) dan Struktur Sistem (anjakan satu dan sembilan. “Kami akan melakukan yang terbaik dan semua usaha dijalankan mengikut tetapan ini yang merentasi setiap gelombang PPPM,” katanya.
Berikutan itu, beliau yakin menjelang 2020 setiap murid dan pelajar menerima pendidikan sama rata dengan masing-masing dilengkapi kemahiran disasarkan.
Sumber - Harian Metro Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan