Rabu, 26 Jun 2013

Mesej Terakhir Sumaiyah yang maut di Jordan


Sumaiyah Romli, pelajar Malaysia yang maut dalam kemalangan di Jordan Jumaat lepas, sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bapanya memberitahu mahu melawat tempat peninggalan para nabi bersama rakan-rakannya, pada awal pagi hari kejadian.

Bapanya Romli Hasan, 53, berkata Sumaiyah, 21, menghantar SMS itu kira-kira pukul 10 pagi (waktu Malaysia) dan memaklumkan sudah bersarapan di rumah seorang pelajar Malaysia di Jordan, sebelum bertolak mengikuti lawatan tersebut.

Katanya Sumaiyah, pelajar tahun satu bidang astronomi fizik University College London (UCL) tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam, berada di Jordan sejak seminggu lepas dan dijangka pulang ke London Khamis ini, sebelum pulang ke tanah air Jumaat ini bagi menghabiskan cuti semester.

Romli yang bertugas di Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), berkata anak perempuan tunggalnya itu juga merancang menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama keluarga di tanah air kerana cuti semesternya sehingga September ini.


"Saya dapat tahu mengenai kejadian ini dari kawan Sumaiyah pukul 4 pagi semalam (Sabtu). Lepas tu saya hubungi pegawai Pelajaran Malaysia di Jordan sebelum mereka sahkan anak saya dah meninggal dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Mutiara, Jalan Pipit, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, di sini hari ini.



Romli berkata beliau juga turut menghubungi seorang rakan anaknya yang terlibat dalam kemalangan itu untuk mengetahui keadaan sebenar tetapi rakan anaknya enggan bercerita lanjut.

Katanya anak keempat daripada enam beradik itu mempunyai hubungan erat dengan keluarga dan sering menghubunginya dan keluarga menerusi laman sosial 'Skype' setiap minggu sejak belajar di London.


"Saya selalu berhubung dengan anak saya melalui Skype. Adalah sekali atau dua kali dalam seminggu kami akan berhubung bertanya khabar dan sebagainya," katanya.


Romli berkata jenazah anaknya akan tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang malam esok sebelum dibawa ke rumahnya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Bukhary di sini pada malam itu juga.


Dalam kejadian antara pukul 5 dan 6 petang (waktu Jordan) kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Sumaiyah dan empat pelajar Malaysia terbabas dan terjunam ke dalam gaung di jalan antara Petra dan Aqabah kira-kira 320 kilometer dari Aman, Jordan.


Kemalangan itu meragut nyawa Sumaiyah dan menyebabkan empat yang lain cedera iaitu Muhammad Nazirul Mubin Nasruddin, Mohamad Shukri Alias, Nur Ili Dayana Mazlan @ Masgelan dan Humairak Ibrahim.


Muhammad Nazirul, Humairak dan Muhamad Shukri merupakan pelajar tahun tiga di Universiti Yarmouk, Jordan. Muhammad Nazirul dan Humairak mengikuti pengajian dalam jurusan ekonomi dan perbankan Islam.- Sinar


Nur Ili Dayana pula pelajar tahun empat di UCL tajaan Bank Negara Malaysia. - Bernama


LP / al- Fatihah 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan