Khamis, 27 Jun 2013

Kehilangan Dr A Rahman dirasai

A Rahman Mokhtar




KUALA TERENGGANU - Pemergian Adun Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar pagi semalam nyata mengejutkan ramai pihak.

Sepanjang menjadi wakil rakyat sejak 2008, Allahyarham dikenali sebagai YB yang ‘cool’ (tenang) dan sentiasa tersenyum.

Mungkin disebabkan latar belakangnya sebagai anak nelayan dari Pulau Perhentian, beliau sederhana dalam tindakannya.

Dilahirkan pada 28 Mac 1958 di Kampung Pulau Perhentian, Allahyarham memiliki ijazah kedoktoran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat ijazah lanjutan, Master of Public Health dari Manila, Filipina.

Sebelum menjadi wakil rakyat, beliau membuka klinik di kampungnya, iaitu di Kuala Besut, untuk berbakti kepada penduduk kampung.

Dr A Rahman sentiasa mengenakan bayaran murah kepada pelanggannya, apa lagi kaum nelayan. Tidak hairanlah penduduk Pulau Perhentian dan Kuala Besut amat menyayanginya.

Maka tidak hairanlah dalam PRU13 yang lepas, beliau merupakan calon yang mendapat majoriti tertinggi di Besut bagi kerusi Dun, iaitu 2,434 undi. Beliau yang juga penyandang kerusi Dun Kuala Besut sebelum ini, mendapat 8,809 undi dan menewaskan lawannya, Napisah Ismail yang hanya mendapat 6,375 undi.

Sinar Harian yang sentiasa berurusan dengannya atas kapasitinya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, beliau sentiasa berusaha memastikan media mendapatkan maklumat yang secukupnya dan tepat, apabila diajukan sebarang pertanyaan.

Lebih mengharukan, tatkala menghadapi masalah suara selepas mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara, Allahyarham masih berusaha menjawab persoalan yang diajukan, sehinggalah sampai tahap beliau hanya mampu membalas mesej melalui SMS kerana sudah ‘tidak ada suara’ - Sinar Harian

LP- Al Fatihah dan Takziah kepada keluarga beliau 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan