Khamis, 27 Jun 2013

Pelakon ditahan lagi miliki dadah

Ampang: Seorang pelakon lelaki yang pernah dihukum kerana memiliki dadah pada 2009, ditahan dalam serbuan polis di Kondominium Oakleaf Park, Taman Bukit Jaya, Bukit Antarabangsa, pagi semalam.

Pelakon berusia 35 tahun yang juga anak kepada seorang pelakon terkenal, ditahan bersama tiga lelaki lain dan dua wanita berusia antara 27 hingga 37 dalam serbuan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang Jaya sekitar jam 11.30 pagi. 

Syabu dalam bilik 

Seorang daripada wanita terbabit dipercayai teman wanita pelakon itu yang juga pernah ditahan pada 2009.Polis menemui satu paket syabu seberat 4.7 gram dalam bilik di rumah terbabit.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata hasil ujian awal air kencing mendapati empat lelaki itu positif dadah jenis methaphitamine manakala dua wanita terbabit negatif.

Siasat sumber dadah
Polis masih menyiasat termasuk mengenalpasti dari mana dadah itu diperoleh dan tujuan mereka menyimpannya sama ada untuk dijual atau kegunaan sendiri.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang esok (hari ini) bagi mendapatkan perintah tahanan reman, katanya ketika dihubungi, semalam.Katanya, hasil pemeriksaan juga mendapati keenam-enam yang ditahan pernah disiasat berkaitan kes dadah.

Siasatan awal mendapati rumah dimiliki seorang daripada lelaki yang ditahan dipercayai digunakan sebagai lokasi jual beli dan menagih dadah.Sebelum ini, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap pelakon berkenaan atas kesalahan memiliki 0.24 gram syabu di rumahnya di Menara Duta 2, Jalan 1/38 B, Persimpangan Jalan Segambut, pada Mac 2009- Utusan 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan