Rabu, 26 Jun 2013

Penjara 20 bulan lari pusat serenti

Selayang: Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan melarikan diri dari Pusat Serenti Rawang, Gombak, Sabtu lalu.
Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki menjatuhkan hukuman itu terhadap Johari Mohd Nor, 46, selepas lelaki itu mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Berdasarkan kertas tuduhan, Johari ketika menjadi penghuni pusat pemulihan itu melarikan diri daripada jagaan sah di sisi undang-undang di Kompleks Aman pusat berkenaan, jam 7 malam, 22 Jun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 19(1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 19(3) akta sama iaitu penjara maksimum lima tahun atau maksimum tiga sebatan kali atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh memohon hukuman ringan memandangkan mempunyai tanggungan dua anak.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber - Harian Metro Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan